Berbagai produk dapat dihasilkan menerusi teknologi tersebut dan sebahagiannya adalah elektronik semikonduktor. Teknologi nano adalah berkaitan saiz sebuah peranti, satu bilion lebih kecil berbanding sebarang benda bersaiz satu meter.
Pun begitu, sektor elektronik semikonduktor merupakan suatu bidang yang amat luas dan penting buat negara-negara membangun dan maju.
Malaysia juga tidak ketinggalan menceburkan diri dan telah lama melihat kepentingannya dalam penghasilan produk dan membantu dalam penjanaan ekonomi. Ini dinyatakan dengan jelas oleh Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia Berhad, Dr. Rezal Khairi Ahmad bahawa perkembangan tersebut memperlihat komitmen kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam mempromosi mikroelektronik dan teknologi nano sebagai teknologi asas untuk mengembangkan pelbagai lagi teknologi tinggi.
“Ia akan dapat memudahkan negara membuat lonjakan dalam dunia ekonomi yang lebih kompetitif,” katanya.
Beliau menyatakan demikian semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Bahagian Kejuruteraan Elektronik Malaysia (IEEE) Mengenai Elektronik Semikonduktor 2016 (ICSE2016) di ibu negara baru-baru ini. Persidangan kali ke-12 itu mula diadakan sejak 1992 dilihat amat positif dari segi kekuatan yang tersendiri, bilangan peserta dan kualiti kertas pembentangan.
Yang turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengerusi ICSE2016, Prof. Datuk Dr. Burhanuddin Yeop Majlis yang juga Pengerusi IEEE.
Jelas Dr. Rezal lagi, terdapat sembilan pusat kecemerlangan di UKM dan IMEN merupakan salah satunya yang memfokuskan aktiviti kajian dalam teknologi nano dan mikro.
Penganjuran persidangan tersebut katanya, hasil inisiatif Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mengupas idea dan penemuan baharu berkenaan teknologi nano dan amat tepat pada masanya dan sejajar dengan usaha kerajaan khususnya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang melihat teknologi nano membawa dimensi baharu dalam pelbagai aspek kehidupan manusia kerana fungsinya yang boleh diaplikasikan menjadi peranti pintar berteknologi tinggi.
“Ditubuhkan pada 2002, aktiviti kajian IMEN meliputi pembangunan Sistem Mekanikal-Elektro-Mikro, Diod Pemancar Cahaya (LED) Organik, Nanofotonik, Sistem Nanoelektronik dan Pembungkusan Semikonduktor Mikroelektronik.
“Institut itu juga turut bekejasama dengan Telekom Malaysia Research and Development Sdn. Bhd. dalam membangunkan komponen berfrekuensi tinggi untuk kegunaan bidang telekomunikasi,” katanya.
Tidak sekadar itu katanya, peralatan kajian yang dimiliki IMEN merupakan antara yang termaju di Malaysia.
Malah ada sesetengahnya merupakan alatan yang pertama kali di bawa masuk ke negara ini.
Kebanyakan alatan tersebut diperoleh daripada sumbangan dana MOSTI dan kerjasama kajian bersama Telekom Malaysia Research and Development Sdn. Bhd.
Beliau juga menarik perhatian bahawa teknologi nano dilihat dapat membantu negara mengembangkan ekonomi menerusi National Graphene Action Plan 2020.
Menerusi pelan tersebut, dijangkakan sebanyak 9,000 peluang pekerjaan dalam dihasilkan dengan 3,000 posisinya adalah daripada bidang kerja bernilai tinggi.
Teknologi nano dalam konteks global telah mengenal pasti nanoelektronik merupakan tumpuan utama bersama beberapa produk yang boleh dikomersialkan.
Bagi NanoMalaysia Berhad, sejak ditubuhkan pada Ogos 2011, syarikat tersebut amat proaktif dalam melibatkan pihak industri untuk berinovasi dan menggunakan teknologi nanoelektronik dalam teknologi asas graphene, kajian, pengembangan dan pengkomersialan.
Tujuannya adalah bagi memastikan industri dapat menempatkan diri dalam ekonomi global namun dengan cara lebih berstrategi dan dinamik.
Lonjakan IMEN
Pada 2011, Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dikenal pasti sebagai Pusat Kecemerlangan NanoMalaysia untuk Aplikasi Biomedikal dalam Sistem Nanoelektromekanikal (NEMS) oleh MOSTI.
Setelah itu, pada 2014, IMEN sekali lagi dinobatkan sebagai Kecemerlangan Tinggi (HiCOE) dalam bidang kajian Sistem Mikroelektromekanikal (MEMS) untuk Biomedikal oleh Kementerian Pendidikan Tinggi MOE.
Selain kajian asas, IMEN turut menyediakan perkhidmatan dan kursus dalam teknologi nano dan mikro serta teknologi fotonik.
Dijangkakan juga menjelang 2020, penembusan teknologi nano dalam industri semikonduktor akan mencecah 100 peratus dan industri farmaseutikal adalah sekitar 50 peratus.
Antara pendorong kepada kegunaan secara besar-besaran teknologi nano adalah perkembangan teknologi di bidang hijau, bio dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Seterusnya perkembangan dalam bidang sains seperti fizik, biologi dan kimia menjadikan kedua-duanya menjanjikan satu transformasi dalam setiap aspek kehidupan menerusi pelbagai aplikasi dan sektor.
Dalam pada itu menurut Pengarah IMEN, Prof. Datuk Dr. Burhanuddin Yeop Majlis, selain penyelidikan pihaknya juga berperanan mengembangkan bidang teknologi nano menerusi pelbagai aktiviti lain.
Sebagai contoh, penganjuran Persidangan Antarabangsa Bahagian Kejuruteraan Elektronik Malaysia (IEEE) Mengenai Elektronik Semikonduktor 2016 (ICSE2016) Ke-12 antara wadah terbaik dalam mendedahkan Malaysia kepada dunia teknologi nano terbaharu dan terkini berserta kajian-kajian yang sedang dilaksanakan.
“Selain itu kita juga mahu menonjolkan kelebihan saintis dalam negara menerusi inovasi dan penemuan baharu yang telah berjaya mereka hasilkan.
“Pembentangan dan perbincangan dua hala juga dapat memupuk keyakinan diri saintis dalam negara serta membentuk satu jaringan kerjasama pada peringkat antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, sempena persidangan tersebut tiga penyelidik lepasan ijazah menerima anugerah IEE Persatuan Perantio Elektron (IDS) atas pencapaian masing-masing.
Salah satu penyelidikan yang dijalankan oleh penyelidik IMEN, Dr. Muhamad Ramdzan Buyong, adalah mengenai penyelidikan buah pinggang tiruan.
“Ini kerana fokus utama kajian kami adalah menambah baik keberkesanan teknologi pemisahan zarah biologi yang sedia ada iaitu secara tanpa sentuh dalam menghasilkan proses penapisan buah pinggang tiruan yang boleh berfungsi secara mudah alih.
“Kami yakin produk yang dihasilkan mempunyai permintaan pasaran yang tinggi bagi tujuan komersial dalam menyelesai permasalahan utama proses dialisis sedia ada,’’ ujarnya.